Nuffnang Ads

Tuesday 26 July 2011

Mengimbau Suasana Masak Bubur Asyura 2009

Bismillahirrahmanirrahim..

Segala Puji Bagi ALLAH....





Ingin berkongsi cerita masak bubur asyura. Pertama kali merasai suasana masak bubur asyura di kampung mertuaku. Pagi-pagi lagi adik-adik ipar dan saudara terdekat sudah menyediakan kawah. Maklumlah satu kawah ni pun memakan masa hampir satu hari mengikut kata ibu mertua. 



Bukannya masak untuk majlis yang besar pun. Adik ipar saya yang sponser untuk masak bubur asyura ni. Masak untuk keluarga saja. Menurut sumber kos untuk satu kawah ni sekitar RM200-RM300 bergantung kepada bahan-bahan yang digunakan mengikut tempat masing-masing. 


Jam 10.00 pagi. Baru setengah jam masukkan beras. Kira-kira 1 gantang mengikut ibu mertua saya.



Beras kena kacau sentiasa untuk elakkan dari 'berkerak' nanti. Maklumlah masak pakai kayu ni. Kejap-kejap kena ada orang yang tolong-tolong tengokkan api.



Hampir satu jam mengacau...bahan-bahan lain masih belum dimasukkan lagi. Masih lagi beras semata.


Barulah dimasukkan segala rempah ratus...Ni adalah resepi kakak ipar saya yang sulung. Kata ibu mertua saya resepi kakak ipar ni sedap dan lain sikit dari resepi yang biasa orang-orang kampung buat.



Kena terus kacau tanpa henti...Yang boleh berhenti cuma orang yang mengacau. Tapi kena silih berganti lah. Adik ipar saya yang sponser, dialah mengarahkan seramai yang boleh saudara yang terdekat untuk datang tolong-tolong kacau. Kacau buur asyura bukannya datang buat 'kacau'. Upahnya nanti masing-masing dapatlah bubur asyura. Memang dah jadi kebiasaan kat sini..Kalau yang masak banyak, lagi la ramai orang kena tolong-menolong. 



Pukul 2.00 petang..Menghampiri saat-saat paling getir sekali. Waktu ni bubur dah semakin pekat, memerlukan keringat yang kuat untuk mengacau tambahan pula bubur mula menggelegak kuat macam letusan gunung berapi..kalau kena 'letusannya' paham-paham saja lah.....Waktu ni mulah masing-masing cari alasan untuk mengelak dari mengacau bubur asyura.



Nilah gambaran bubur asyura yang hampir masak. Tapi mengikut kakak ipar saya memerlukan masa lebih kurang 2- 3 jam lagi baru boleh angkat. Saya pun dah penat lihat orang-orang yang mengacau ni. Tapi seronok bila ada keraian macam ni. Macam-macam gelagat, macam-macam cerita...Nanti saya 'update'kan resepi bubur asyura versi kakak ipar saya. Sedikit info mengenai Bubur Asyura untuk dikongsi bersama.


BUBUR ASYURA : ANTARA ADAT DAN SYARIAT

Perkara yang sering menjadi adat dikalangan kita ialah memasak BUBUR ASYURAA'. Hal ini disandarkan kepada peristiwa Nabi Allah Nuh as.

Disebutkan dalam kitab Nihayatuz Zain (halaman 196 Syeikh Nawawi Al-Banteni), Kitab Nuzhatul Majalis (halaman 172 Syeikh Abdur Rahman Al-Ushfuri), Kitab Jam'ul Fawaid ( halaman 132 Syeikh Daud Al-Fathoni) bahawasanya ketika mana bahtera Nabi Nuh as berlabuh di bukit Juudi pada hari Asyuraa maka berkatalah baginda kepada umatnya :

"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih, maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila' iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas dan Ba'ruz dan tepung dan kacang Hinthoh sehingga menjadi tujuh jenis biji bijian yang dimasak"

"Maka berkata Nabi Nuh as : Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang".

Maka berdasarkan kisah inilah sebahagian kaum muslimin menjadikan makanan mereka itu daripada biji bijian yang dinamakan BUBUR ASYURAA' (bubur yang dimasak sempena hari kesepuluh dalam bulan Muharam). Dan itulah masakan yang pertama dimasak di atas permukaan bumi setelah berlakunya banjir besar dan taufan yang melanda bumi.

Syeikh Ibn Hajar Al Asqolani bersyair dengan katanya


في يوم عاشوراء سبع تهرس بر أرز ثم ماش عدس

وحمص ولوبيا والفول هذا هو الصحيح والمنقول

Maksudnya : Pada Hari Ayuraa' terdapat tujuh yang dimakan iaitu Gandum (tepung) Beras, kemudian Kacang Mash (kacang kuda) dan Kacang Adas (kacang dal).

Dan Kacang Himmash (kacang putih) dan Kacang Lubia ( sejenis kacang panjang) dan kacang Ful. Inilah kata-kata yang sohih dan manqul (yang diambil dari kata-kata ulamak).

Daripada apa yang dibahaskan di atas, maka dilihat bahawa sejarah BUBUR ASYURAA' ini diambil daripada peristiwa arahan dan perintah Nabi Nuh as kepada umatnya ketika dahulu.

Oleh itu, Adakah salah bagi kita mengambil apa yang dilaksanakan oleh umat terdahulu dan apa yang diarahkan oleh Nabi Nuh as kepada umatnya untuk kita pula laksanakannya?

Perkara ini bukanlah termasuk dalam hukum hakam yang ada nasakhnya dalam Syariat Islam. Ianya hanya kisah dan peristiwa yang perlu diambil iktibar dan dihayati oleh umat manusia dan seterusnya beriman dan menghampirkan diri kepada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa.

Andai ia arahan tadi merupakan suatu perintah, maka kita mengatakan ia merupakan Ash Syar'uu Man Qablana iaitu perkara syariat yang berlaku pada zaman dan umat terdahulu yang tidak dinasakhkan untuk menjadikan iktibar dan panduan hidup berterusan umat akan datang.

Maka BUBUR ASYURAA' merupakan salah satu daripada perkara yang disebutkan sebagai Ash Syar'uu Man Qablana yang boleh kita amalkan dalam kehidupan kita dan ia tidaklah di anggap sebagai suatu BIDAAH.

Tanggapan sebahagian orang yang mengatakan perkara ini BIDAAH dan adat semata-mata adalah tidak benar. Adat juga boleh menjadi Ibadah andai perkara seperti memasak BUBUR ASYURAA' ini kita jadikan sebagai amalan untuk mengingati dan menghayati peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Nuh as. Kerana kelalaian dan lupa dengan tuntutan beragama, dan di sebabkan menuruti kehendak nafsu yang rakus, maka Allah tenggelamkan mereka sehingga tiada suatu pun yang tinggal dan disimpan untuk dimakan melainkan sedikit sahaja.

Maka tidak salah kita adakan Majlis Memasak BUBUR ASYURAA' dengan penghayatan tersebut dan bertujuan untuk memberi makan kepada keluarga, faqir miskin yang sangat memerlukan dan menjamu orang yang berbuka puasa dan sebagainya. Ia akan dihitung sebagai Ibadah yang mulia disisi Allah swt insyaallah.

p/s : Makan bubur makan juga!!! Tapi penghayatan itu lebih penting. Menggabungkan kedua-dua niat itu alangkah lagi bagus. "Masak dengan niat menjamu dan sedekah + Menghayati peristiwa dan Kisah Nabi Nuh as".

Sumber : http://hafizullah-perindusyahid.blogspot.com/



No comments:

Post a Comment