Nuffnang Ads

Saturday, 23 July 2011

Oven Pertama



Bismillahirrahmanirrahim...
Segala puji bagi Allah..

Ini adalah oven pertama saya. Saya beli ketika menerima gaji pertama kira-kira 8 tahun yang lalu. Dari bujang hinggalah berkeluarga, oven ini sangat berjasa dan  sangat lasak..Prestasinya tak pernah menghampakan...Darinya juga terhasillah bermacam kek, biskut dan masakan yang menjadi kegemaran keluarga. Terkadang bila dikenang kembali, sungguh berbaloi membelinya (value for money).

Bayangkan ketika bujang dulu, saya mempunyai 8 orang teman serumah. Menjelang pertengahan Ramadhan, masing-masing gotong-royong menyiapkan 5-7 jenis biskut setiap seorang. Antaranya Tat Nenas (bentuk buah nenas siap dengan tangkai cengkih lagi tuh), London Almond, Biskut Sarang Semut, Mazola, Biskut Cornflakes, Biskut Mama Carries. Jadi oven ini digunakan seawal jam 5.30 pagi (selepas sahur) dan hanya berehat sebentar di tengah hari dan kemudian terus menerus membakar sehingga jam 1-2 pagi. Keadaan rumah ketika itu saling tak tumpah seperti kilang biskut raya je. Hasilnya ketika berziarah raya ke rumah teman serumah di kampung, kuihnya sama sahaja dengan saya punya di rumah. Tapi tak mengapa, itulah tandanya kami sepakat bergotong-royong dan rajin membantu antara satu sama lain. Sangat seronok ketika tu....

Kini apabila berkahwin, tak sangka pula suami juga mempunyai minat baking seperti saya. Ketika menyambut Aidilfitri pertama bersama-sama sebagai suami isteri, kami berjaya menyiapkan empat jenis biskut-Tat Gulung Nenas, London Almond, Biskut Mama Carries dan Biskut Mazola untuk dibawa pulang ke kampung. Adik beradik dan mertua kehairanan kerana tahu kami mempunyai kerjaya yang sangat sibuk tetapi  mampu menyiapkan empat jenis biskut dalam kuantiti yang banyak. 

Setelah memiliki seorang puteri, kerja mem'baking' saya menjadi agak terhad. Kuih raya seakan-akan mustahil untuk dibuat kerana 'assistant puteri' saya sangat rajin 'membantu'. Tetapi tahun ini saya telah bersiap-siap dengan senarai resipi yang akan direalisasikan, InsyaAllah. 

No comments:

Post a Comment